Salam hormat,

Hari ni, saya nak bercerita sikit mengenai puisi dan bidalan melayu. Saya ada terbaca mengenai topik ni, beberapa tahun yang lalu, ketika di bangku sekolah dan hari ni tiba-tiba teringat untuk kongsikan. Jadi saya tulis satu siri artikel, yang akan bersambung. Kalau saya teringat nak tulis lah, kalau saya terhantuk sinki kemudian hilang akal tu lain ceritanya.


Ok lah, saya mulakan. Sebenarnya, terdapat banyak karya seni bahasa melayu, yang telah disalah ertikan hanya kerana perkataan yang digunakan itu mempunyai dua maksud atau disalah eja ketika ditulis semula dari jawi ke rumi.

Perumpamaan yang paling kerap disalah erti, hingga tidak mempunyai maksud ialah:

Bagai melepaskan batuk di tangga

Sebenarnya, frasa yang betul adalah "Bagai melepaskan batok di tangga". Batuk tu, yang atuk kamu 'uhuk uhuk' tu. Itu nak buat apa kan. Batok dalam perumpaaan ni, membawa maksud gayung air (diperbuat daripada kayu dan tempurung) yang kebiasaannya tergantung tepi tempayan bawah tangga di rumah melayu lama.

Ini lah rupa Batok kalau nak tahu. 



Perbuatan melepaskan batok di tangga ini, sangat jelas menggambarkan maksud perumpamaan ni. Iaitu, buat kerja sambil lewa dan tidak bersungguh. Ya lah, sudah basuh kaki, sangkut lah semula batok tu di tepi tempayan, kamu campak di tangga tu nak tunggu bibik datang pungut? Ah gitu.

Jadi, bagaimana kesilapan ini boleh wujud asalnya?

Kesilapan yang berlaku dalam hal ni, bermula dari kesalahan ejaan ketika menulis semula perumpamaan ini, dari jawi ke melayu. Biar saya tunjukkan rajah supaya senang faham.


Kalau dalam tulisan jawi, huruf O dan huruf U ditulis menggunakan huruf و. Kekeliruan yang berlaku ini lah yang buatkan majoriti dari anak muda sekarang, tak faham apa maksud sebenar perumpamaan ni.

Jadi, kamu semua dah faham maksud sebenar, dah belajar perkataan baru (batok), dan dah tahu punca kesalahan ni, bawa bawa lah ajar atau kongsi ilmu dengan orang sekeliling kamu. Jangan biarkan perumpamaan ini hilang maksudnya. Dah tahu, guna dengan betul. Tak reti?

Terima kasih sudi luangkan masa membaca. Jumpa lagi dalam sambungan artikel ni kelak.

p/s: Ribuan terima kasih buat     dan , sudi bantu taipkan jawi. Haha.