Salam hormat semua,

Rasanya lama juga saya tak menulis dan update blog ni. Baru sekejap tadi, saya tengok fanpage perniagaan sahabat saya, Finnfinn Cupcakes & Chocolates di Facebook, dan terus tergerak hati saya nak kongsikan serba sedikit asas keusahawanan atau entrepreneurship.

Keusahawanan ni, bukan nak cerita buat duit saja 24 jam. Sebelum nak mulakan bisnes tu, kamu mesti kena tahu dulu apa asas asas dan aspek penting dalam menjalankan perniagaan dan juga pembikinan produk. Siapa tahu, kamu tak pernah fikir fasal perkara asas ni, hari ni kamu dapat peluang baca artikel ringkas saya, dan kamu mula berfikir. Kan?

Baiklah, salah satu ranting penting dalam bab keusahawanan ni, yang saya nak kongsi ini hari, adalah rekacipta & inovasi. Tapi anak muda kita ni, bila bercakap sahaja bab inivasi dan rekacipta, terus datang perasaan takut dan malas nak fikir. Sebab apa? Sebab terdapat sedikit misconception berkenaan rekacipta & inovasi di Malaysia ni.


Apa Erti Rekacipta Dan Inovasi Buat Anak Muda Di Malaysia?

Jawapan ni, saya peroleh semasa jalankan kaji selidik projek SEM Type III saya untuk program Tunas Saintis. 

Proses atau pekerjaan mencipta mesin, jentera, atau peranti elektronik. Kiranya, bukan sebarangan orang boleh buat rekacipta atau inovasi ni, hanya jurutera dan pereka sahaja yang boleh buat. Yalah, kerani mana reti nak buat kereta lumba, kapal selam, telefon bimbit ni. Orang kerja bagus bagus saja boleh buat.

Apa Pula Erti Sebenar Rekacipta Dan Inovasi?

Rekacipta ni bermaksud penghasilan apa sahaja bentuk produk berdasarkan permasalahan tertentu, dan dalam proses merekacipta ni, ada pula Inovasi, yang bermaksud penambah-baikan dan pengubahsuaian idea-idea yang terdahulu, kepada sesuatu yang lebih baik atau lebih relevan mengikut kehendak pengguna.

Bila saya kata apa sahaja tu, bermakna memang apa sahaja lah. Tidak hanya terhad pada mesin, jentera atau peranti elektronik. Tak semestinya sebut rekacipta dan inovasi, kamu nak kena fikir macam mana nak buat telefon pintar lagi hebat dari iPhone. Tak, tak semestinya. Kalau tak percaya, biar saya tunjuk contoh mudah inovasi, yang saya yakin berapa kerat sangat dari kamu pernah terfikir tentang perkara seperti ni.

Tudung belah kanan lebih baik dari kiri kan? Simple.


Kamu nampak tak betapa mudah, remeh dan kecilnya inovasi ni, sampai kebanyakan dari manusia tak pernah perasan atau terfikir pun mengenai benda ni, penutup ubat gigi. Penutup ubat gigi, pada awalnya boleh ditanggalkan dengan cara memutarkannya. Seorang pereka yang bijak dan bertanggungjawab mengusulkan permasalahannya, di mana 'sedikit' masa manusia terbuang atau terbazir untuk memutar penutup ubat gigi setiap hari, dan penutupnya pula berkebarangkalian hilang. Penyelesaiannya? Penutup yang kamu lihat disebelah kanan gambar. Inilah dia inovasi.

Siapa Yang Layak Buat Rekacipta & Inovasi?

Bab ni memang saya nak tekankan sangat. Sebenarnya, siapa saja dalam dunia ni, kalau peka, bijak, dan pantas ambil peluang, memang layak untuk jadi perekacipta. Bukan jurutera, saintis, atau  pereka bertauliah sahaja. Kamu pun boleh, baik apa pun jurusan dan karier kamu, sekalipun hanya pelajar. Bukti dan contohnya?


  • Kerani - Kamu mengalami masalah untuk menyelak kertas/dokumen. Kamu mendapat idea untuk mereka sarung getah kesat pada jari.

  • Petani - Kamu mengalami masalah untuk menggembur tanah memasukkan benih kedalam tanah. Jadi kamu cipta alat berupa tongkat yang boleh diisi benih, hanya perlu cucuk pada tanah dan tekan butang.

  • Peniaga kerepek - Kamu rasa leceh bila nak kaut kerepek dalam minyak lepas masak. Jadi kamu buat raga besi bertangkai untuk isi kerepek, dan terus rendam dalam minyak.

  • Tukang Masak - Kamu rasa daging yang disimpan cepat lebam dan busuk, jadi kamu cari herba atau ramuan yang boleh dicampur dengan daging untuk buatkan ia tahan lama. Ini juga dikira inovasi.

Nampak dah apa yang saya maksudkan? Selagi kamu nampak masalah dalam hidup, selagi tu lah kamu berpeluang untuk perbaiki atau tampil dengan sebuah inovasi. 

Rekacipta ni, kalau kamu pandai, kamu boleh selesaikan masalah kehidupan kamu. Tapi, kalau kamu bijak bergeliga, kamu boleh pasarkan produk ciptaan kamu dan selesaikan masalah ribuan malah jutaan manusia yang lain. Dalam erti kata lain, sambil menyelam buat duit. Tak gitu?

Jadi, dalam masa kamu muda ni lah, kamu kena ingat pesan ni:

Orang yang pesimis, melihat kesulitan dalam setiap peluang, Manakala orang yang optimis melihat peluang dalam setiap kesulitan.