Dalam dua tiga minggu ni, kita ada banyak terbaca di akhbar, di internet, tengok di TV, mengenai isu kebangkitan mahasiswa dan kebebasan akademik. Bila saya baca, saya terus teringat satu peristiwa yang sangat sinonim dengan isu ni. Peristiwa yang berjaya membuktikan kepekaan pelajar terhadap haknya. Mungkin ini kisah budak budak, tapi masih terdapat nilai yang boleh kamu ambil kira.



Peristiwa ni terjadi 4 tahun yang dulu, tahun saya menduduki peperiksaan SPM, 2008. Masa tu saya belejar di MRSM Tun Ghafar Baba, Jasin. Pelajar MRSM, dipimpin oleh Badan Wakil Pelajar (BWP), dan presidennya pada waktu itu, seorang pelajar tingkatan 5 bernama Arif Faizal. Nak dijadikan cerita, sekitar pertengahan tahun 2008 ni, BWP banyak menerima aduan mengenai makanan sarapan pagi yang sering tak cukup, dan mengakibatkan ramai pelajar yang ke kelas tanpa mengalas perut. 

Prihatin dengan hak pelajar di bawah pimpinan mereka, BWP mula mengambil tindakan berjumpa dengan pihak pengurusan dewan selera bagi mendapatkan penjelasan lebih lanjut. Seperti biasa, orang tua ni susah nak mendengar cakap 'budak', dan suara pelajar sering mereka abaikan. Hampa, jawapan nya menghampakan. Katanya, makanan yang disediakan memang cukup, cuma pelajar yang tak nak datang makan. Ketidak telusan pihak pengurusan yang menyediakan makanan diragui kerana dikhuatiri duit peruntukan bagi makanan pelajar disalahguna.

Akibat tidak berpuas hati dengan jawapan dan penjelasan yang diberikan, pihak BWP mula mengatur jalan yang agak janggal bagi tahap murid sekolah, iaitu demonstrasi. Mereka merancang untuk menjalankan demonstrasi secara aman dan mengejut, tarikh dan masa pun ditetapkan.

Tiba hari yang diwar-warkan, hampir kesemua semua pelajar tingkatan 5 dan sebahagian dari pelajar tingkatan 4 turun ke dewan selera selepas solat subuh berjemaah seperti yang telah dirancang. Pelajar mula beratur mengambil makanan, dan duduk diam ditempat masing masing. Pihak pengurusan dewan selera terkejut dengan kebanjiran pelajar yang turun makan serentak pada suatu masa, kerana mereka tahu makanan yang mereka sediakan memang tidak mencukupi. Rancangannya, pelajar tidak akan berganjak selagi ada pelajar yang tidak mendapat makanan.

Selepas kira kira 15 minit, terdapat lebih kurang 200 pelajar yang masih beratur dan belum mendapat makanan mereka. Jadi, apa yang diperkatakan selama ni, sudah terbukti. Pihak pengurusan memang tidak menyediakan makanan yang secukupnya seperti yang telah diperuntukkan. Kejadian ni, telah mendapat perhatian pihak pengurusan Maktab, dan proses penyediaan makanan mula dipantau sejak hari itu. Masalah kekurangan makanan juga sudah tidak timbul.

Apa Pengajaran Kisah Demonstrasi Pelajar Ni?
  • Tanpa muafakat, kerjasama dan kesefahaman, sesebuah masalah sukar untuk diselesaikan.
  • Pelajar harus belajar mengenal hak asasi mereka, dan berusaha untuk melindunginya.
  • Kepentingan pelan, objektif dan misi dalam melakukan sesuatu tindakan.
  • Peranan dan tanggungjawab seorang pemimpin dalam menjaga kebajikan organisasinya.

Contoh melalui kisah yang saya kongsikan ni, demonstrasi berskala kecil bila berdepan dengan masalah dalaman sesuatu organisasi kecil. Sekali pandang, memang nampak mudah masalah itu diselesaikan. Tapi, bila kita lihat dalam gambaran yang lebih besar, seperti masalah dalam negara dan masalah global, demosntrasi ini berfungsi sebagai satu medium penyampaian dalam bentuk tindakan bagi mengetengahkan sesuatu isu. Sesebuah masalah tidak diselesaikan dengan demonstrasi, tetapi hanya mesej dan isunya yang disampaikan melalui impak tindakan dan liputan media massa. Kesan selanjutnya yang bakal menyelesaikan sesuatu permasalahan. Apa yang penting, bagaimana sesebuah demonstrasi itu dijalankan, dan sejauh mana impaknya pada mental massa.

Sebelum mula mempersoalkan hak kamu, mulakan dengan mempersoalkan diri kamu. Siapa kamu sebenarnya?

p/s: Dari pengamatan saya, MRSM Jasin telah melahirkan ramai aktivis aktivis muda yang terlibat dalam organisasi sosial dan kemasyarakatan. Ramai, tak perlulah saya sebutkan nama, kamu tahu siapa kamu. Teruskan perjuangan, dan terus perjuangkan idea kamu, kerana kamu pemimpin masa akan datang.