DISCLAIMER: Ini bukan artikel Teori Konspirasi dakyah Illuminati kepala banar segala. Ini artikel yang menerangkan konsep yang berkait dalam pembikinan sesebuah produk atau aplikasi sosial.

Salam hormat sahabat semua,

Kita berjumpa lagi hari ni, dengan topik yang mungkin agak menarik (bagi sesetengah pembaca) untuk saya huraikan. Artikel ni mungkin sesuai buat mereka yang gemar, atau terlibat dalam pembikinan laman web dan aplikasi digital. Saya akan terangkan seringkas yang boleh, dan mungkin tidak lengkap bagi membuka peluang kita semua berdiskusi selepas membaca.

Apa Itu Tujuh Dosa Besar Atau Seven Deadly Sins?


Tujuh Dosa Besar atau Seven Deadly Sins ni, sebenarnya salah satu kandungan penting yang sering dirujuk dalam ajaran Kristian. Namanya mungkin sudah menerangkan maksudnya. Jadi tak perlu lah saya terangkan lagi. Berikut adalah senarai dosa besar yang dimaksudkan:


Pride - Bangga diri, atau bongkak. Perasaan yang biasanya wujud bila seseorang itu percaya bahawa kelebihan dirinya, melebihi orang di sekelilingnya.


Envy - Hasad, atau suatu perasaan tidak senang atas kelebihan atau kesenangan orang lain.


Gluttony - Rakus, sifat atau perlakuan yang biasanya wujud apabila seseorang itu berkehendak melampaui kemampuan dan keperluan dirinya.


Lust - Nafsu, kemahuan atau kehendak yang tertanam dalam diri setiap manusia. 


Wrath - Murka, atau kemarahan. Perasaan yang biasanya timbul apabila seseorang itu mula membelakangi rasional dan kasih sayang.


Greed - Serakah, atau ketamakan. Perasaan yang biasanya timbul apabila seseoarng itu mula mengidamkan kekayaan dan kuasa, sehingga mengabaikan baik buruk tindakannya.



Sloth - Kemalasan, sifat atau perlakuan yang wujud apabila seseorang itu mula menghindari dirinya dari melakukan sesebuah kerja, baik secara fizikal atau mental.

Apa Kena Mengena 7 Deadly Sins Dalam Aplikasi Dan Laman Sosial?


Berdasarkan pemerhatian, dan pengamatan saya, saya mula perasan kaitan dan konsep 7 Deadly Sins dalam kejayaan sesebuah laman sosial dan aplikasi digital. Kebanyakan Laman sosial yang berjaya, mempunyai fungsi sama ada menggalakkan atau menyelesaikan 7 Deadly Sins. Maksud saya, kita dapat lihat dari penggunanya, kerana kejayaan sesebuah laman sosial atau aplikasi itu juga terletak pada penggunanya.

Saya akan beri contoh yang paling mudah dan paling kerap berlaku, berdasarkan laman sosial Facebook.

  • Pengguna (kebiasaannya perempuan) akan memuatnaik gambar peribadinya yang cantik cantik ke laman Facebook. Ini satu contoh Pride.

  • Kawan yang melihat kecantikan gambar tersebut pula, akan mula rasa cemburu. Ini pula Envy.

  • Bagi menandingi kecantikan kawannya tadi, dia akan mula mengadakan apa sahaja demi
    memuaskan hatinya. Ini namanya, Gluttony.

  • Perasaan terdesak mendapatkan sokongan dan pujian dari pengguna lain akan mula menyelubungi pengguna itu tadi, dia akan mula 'Add' lebih ramai kawan dalam akaunnya. Ini Greed.

  • Pengguna yang berlainan jantina, yang melihat gelagat dua pengguna ni, akan mula rasa tertarik dan inilah dia Lust.

  • Perasaan tidak selesa melihat ada pengguna yang cuba 'melawan' dirinya, akan menimbulkan kemarahan, Wrath. Maka berlaku lah pergaduhan atau salah faham.

Rantaian drama/konflik ni akan berterusan, dan akan mengakibatkan pengguna tersebut terus menggunakan laman sosial yang berkenaan.

Saya rasa saya tak perlu terangkan Sloth atau kemalasan ni. Kamu mesti tahu kan, hari hari mengular di tempat kerja.

Jadi, Apa Faedahnya Aku Baca Semua Ni?

Sebagai pereka laman web atau aplikasi, kamu harus mengambil kira elemen elemen remeh seperti ni dalam projek kamu yang akan datang. Fikirkan apa 7 Dosa Besar yang boleh kamu galakkan atau selesaikan dengan ciptaan kamu. Contoh yang saya berikan diatas, mungkin terlalu sikit, dan kebarangkaliannya tidak ada had. Kamu duduk sejenak, dan fikirkan. Banyak lagi yang kamu akan jumpa.

Tidak semestinya, dalam sesebuah aplikasi atau laman sosial wajib ada ketujuh-tujuh elemen dosa besar tersebut. Cuma, semakin banyak yang boleh kamu adakan atau selesaikan, kebarangkalian untuk laman sosial kamu berjaya juga mungkin akan meningkat.

Usah terus duduk, merenung sesuatu dari suatu sudut pandangan saja, bangun dan telitilah. Nescaya kamu akan tahu apa dibahagian yang lagi satu.

Saya rasa, dah panjang sangat saya tulis. Er. Jadi, sekian saja artikel saya malam ni.

Oh ya, Sebelum saya berundur, saya rasa majoriti pembaca tulisan saya ni, pengguna Twitter. Betul? Apa kata, kamu cuba beri contoh elemen 7 Dosa Besar dalam laman sosial Twitter pula. Sama sama berkongsi ilmu dan pendapat.